Malaysia Dateline

COVID-19: Tiada kematian, 36 kes baharu, paling rendah direkod setakat ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 98 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini dan tidak ada kematian hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,295 kes (60.74 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga 20 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 36 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,425 kes.

Ini merupakan bilangan kes harian yang paling rendah direkod setakat ini. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,041 kes.

Seramai 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 28 kes
memerlukan bantuan pernafasan.

Sukacita dimaklumkan, daripada maklumat terkini yang telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, tiada sebarang kes kematian yang terbaharu setakat ini. Oleh itu, sehingga pukul 12 tengah hari 20 April 2020, jumlah kematian kekal 89 kes.