Malaysia Dateline

COVID-19: 374 kes baru kini Malaysia catat lebih 15,000 kes

Jika dilihat pecahan utama jumlah kes positif COVID-19 hari ini, ianya menunjukkan tren yang hampir sama dengan semalam iaitu negeri Sabah mencatat jumlah kes tertinggi sebanyak 277 kes (74.1 peratus).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, negeri Kedah pula mencatatkan 27 kes (7.2 peratus) yang kesemuanya adalah daripada Kluster Tembok.

Katanya, kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara manakala kluster-kluster lain adalah terkawal hasil tindakan kesihatan awam yang telah dijalankan.

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 13.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, iaitu Negeri Selangor mencatat 44 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 4 kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya 1 kes.

Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 374 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 15,096 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 4,161 kes. Mereka telah diasingkan dan
diberi rawatan,” katanya.

Daripada 374 kes baharu yang dilaporkan, beliau berkata, dua kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara iaitu dari Filipina dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, melibatkan satu
warganegara dan satu bukan warganegara.

Daripada 372 kes penularan di dalam negara, katanya, 343 kes adalah warganegara Malaysia dan 29 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada 372 kes penularan di dalam negara, 17 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 341 kes,”katanya.

Hari ini katanya, terdapat 73 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, beliau melahirkan rasa dukacita kerana terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan
jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 155 kes.