Covid-19: 3,996 korban di Selangor, Petaling catat kematian tertinggi

Oleh ARIF ATAN

Selangor merekodkan jumlah kematian akibat Covid-19 sebanyak 3,996 kes sepanjang tempoh bermula 1 Januari hingga 10 Ogos lalu.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, bagi perincian data di Mukim Klang pula, sebanyak 328 kematian dicatatkan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Julai lalu.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pagi ini yang menjawab soalan Tony Leong Tuck Chee (DAP-Pandamaran) yang bertanya tentang kes kematian di mukim Klang dan Negeri Selangor.

Siti Mariah menjelaskan perincian kematian mengikut daerah di Selangor yang direkodkan dari Januari hingga 10 Ogos seperti berikut:

Keseluruhan kematian di Gombak sebanyak 672 kematian, Hulu Langat (1,029), Hulu Selangor (104), Klang (477), Kuala Langat (154), Kuala Selangor (114), Petaling (1,284), Sabak Bernam (30), Sepang (132).

Pada Ogos, kematian di Petaling adalah yang tertinggi dengan 329 kematian, diikuti Gombak 204 dan Hulu Langat 200 kematian.

Manakala Sabak Bernam catat angka terendah pada bulan yang sama iaitu tujuh kematian, diikuti Sepang 18, dan Hulu Selangor serta Kuala Selangor yang masing-masing mencatat 21 kematian setakat 10 Ogos.

Kuala Langat 25 kematian, Klang 82 kematian.

Sementara itu, Siti Mariah memaklumkan bahawa tiada data di peringkat CPRC JKNS tentang kematian yang disebabkan oleh jenis varian yang berlainan.

“Tidak semua kes menjalankan ujian penjujukan genom bagi menentukan jenis varian.
“Hanya sebilangan kecil kes yang dijalankan ujian tersebut dan hasil ujian tidak dapat diekstrapolasi kepada penyebab kematian kerana data yang tidak bersifat representatif,” jelasnya lagi.