Malaysia Dateline

Covid-19: 40 peratus dijangkiti bergejala, strain virus berbeza di Sarawak

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mendedahkan analisis penjujukan genom Covid-19 menunjukkan varian yang menjangkiti rakyat negeri itu kini berbeza dengan yang dikesan pada Mac hingga April tahun lalu.

Walau bagaimanapun, pihaknya masih belum mengetahui akibat klinikal varian baharu tersebut.

“Itu mungkin menjelaskan mengapa di Sarawak kita perhatikan 40 peratus daripada mereka yang dijangkiti menunjukkan gejala sedangkan di seluruh dunia hanya 20 peratus mempunyai gejala.

“Kami memerlukan saintis, universiti dan pakar penyakit berjangkit untuk membuat kajian cara apa yang kami berbeza,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan secara langsung menerusi aplikasi Zoom yang dihoskan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting Ing Horh di laman Facebooknya.

Menurutnya, jangkitan awal adalah dari strain Wuhan tetapi apabila Kluster Stutong dan Kluster Keranji Tabuan dikesan bulan lalu, analisis penjujukan genom oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mendapati strain baharu sama seperti yang ada di Indonesia dan United Kingdom (UK).

Katanya, bagi Kluster Pasai yang merebak secara meluas di banyak bahagian Sarawak, strain itu berasal dari Semenanjung dan sedikit UK.

Namun, Kui Hian menjelaskan strain UK bukan dari jenis B117 yang sangat cepat merebak daripada virus Covid-19.

“Ia bukan mutasi dari strain UK. Ia virus pemutasian dan sekarang di UK, mereka bercakap mengenai strain Afrika,” dipetik Bernama.

Turut serta dalam sesi itu Ketua Unit Penyakit Berjangkit Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr Chua Hock Hin dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (PJKK) polis, Deputi Superintendan Ariffin Bahar yang menyentuh mengenai situasi Covid-19 di Sarawak termasuk Sibu.

Setakat semalam, Sarawak mencatatkan pertambahan 84 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 5,760 kes.

Terdapat 1,831 kes aktif di negeri itu dengan 13 pesakit Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 14 pesakit pula memerlukan bantuan alat pernafasan.

Kluster Pasai membabitkan upacara pengebumian terus menjadi penyumbang terbesar kes positif Covid-19 di Sarawak dengan menjangkiti lebih 2,000 individu diselepas mula dikesan di Sibu pada 9 Januari lalu.

Satu lagi kluster jangkitan Covid-19 di negeri itu membabitkan majlis pengebumian di daerah Beluru dan Miri diumum Kementerian Kesihatan (KKM) pada 7 Februari lalu.

Kes indeks kluster itu di Seruas, Bakong, Beluru dilaporkan positif Covid-19 pada 30 Januari lalu hasil saringan individu bergejala.

Berfungsi atau tidak

Sementara itu, Dr Hock Hin berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak kajian klinikal untuk benar-benar memahami semua perkara ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya apakah vaksin akan berfungsi pada strain bermutasi memandangkan vaksin AstraZeneca tidak berkesan terhadap strain Afrika Selatan seperti pernah dilapor.

“Hanya selepas vaksin itu dilancarkan, kita dapat melihat kesan sebenar dan jika ia benar-benar berfungsi atau tidak,” katanya.

Menjawab pertanyaan lain, Dr Hock Hin menolak tuduhan kerajaan menggunakan rakyat di Belaga sebagai subjek eksperimen untuk latihan penghantaran vaksin Comirnaty Pfizer dan BioNTech ke daerah itu pada 29 Januari lalu.

Jelasnya, latihan penghantaran vaksin itu bertujuan menilai keupayaan pengekalan suhu -75°C vaksin Comirnaty sepanjang rantaian penghantaran iaitu dari pihak pengilang hingga sampai ke fasiliti perubatan dipilih.

Ditanya sama ada vaksin itu selamat untuk manusia, Hock Hin berkata tidak apa perlu ditakuti kecuali mereka yang disuntik akan mengalami beberapa kesan sampingan seperti sakit kepala atau demam, tetapi akan hilang dalam tempoh tertentu.