Malaysia Dateline

COVID-19: 42 MP DAP jamin tidak sokong usul undi tidak percaya pada Muhyiddin

DAP memberi jaminan bahawa 42 Ahli Parlimennya tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin sekiranya Parlimen bersidang segera untuk krisis COVID-19.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, PN harus memanggil Parlimen untuk sidang tergempar, sama seperti yang telah dilakukan oleh Johor.

Bagi meredakan ketakutan politik melampau Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, katanya DAP memberi jaminan hanya akan membincangkan mengenai langkah pencegahan COVID-19, Program Imunisasi Kebangsaan dan perkara yang berkaitan.

Beliau berkata, jumlah tertinggi sebanyak 6,806 kes harian COVID-19 dan 59 kematian pada 20 Mei 2021 adalah petunjuk yang memalukan terhadap kegagalan Kerajaan PN dalam menguruskan wabak COVID-19 .

“Sehingga Malaysia bukan sahaja menjadi negara yang terburuk di Asia Pasifik dari segi jangkitan per kapita tetapi merupakan juara ASEAN dalam jangkitan harian.

“Kadar jangkitan Covid-19 (Rt) atau R-Naught berdasarkan kes harian di seluruh negara meningkat hingga 1.1, sementara kadar vaksinasi juga jauh di belakang jadual pada 2.6% penduduk untuk dua dos, bahkan lebih rendah daripada kadar vaksinasi Indonesia pada 3.4% untuk dua dos,” kata beliau.

Menurut Guan Eng prestasi yang memalukan ini harus menyedarkan pentadbiran PN yang masih lena bahawa mereka perlu menggunakan bukan hanya pendekatan keseluruhan kerajaan tetapi juga pendekatan keseluruhan rakyat untuk menang dalam pertempuran terdesak melawan COVID-19.

“PN juga perlu memberikan penjelasan penuh mengapa krisis COVID-19 menjadi semakin buruk walaupun terdapat dana langsung RM60 bilion untuk memerangi COVID-19.

“Pada tahun 2020 RM38 bilion diperuntukkan untuk dana COVID-19, RM 17 bilion pada tahun 2021 dan RM5 bilion lagi diperuntukkan dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

“Dana langsung COVID-19 RM60 bilion sejak tahun lalu ini tidak termasuk RM567 bilion yang diperuntukkan untuk usaha memulihkan ekonomi, tetapi telah gagal mengeluarkan negara dari kemelesetan ekonomi dengan kadar pertumbuhan negatif selama empat suku tahun berturut-turut,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana semua dana ini dibelanjakan ketika rakyat tidak mendapat atau merasakan manfaat daripada RM627 bilion dana kerajaan sejak tahun lalu.

Sultan Johor telah mencadangkan satu mesyuarat bagi semua Ahli Parlimen, ADUN Johor dan Kerajaan Negeri Johor untuk berjumpa dan membincangkan bersama mengenai langkah pencegahan Covid-19, sebagai alternatif kepada penggantungan Parlimen.

Pendekatan keseluruhan kerajaan atau keseluruhan rakyat oleh Sultan Johor ini lebih baik daripada kegagalan Kerajaan PN sekarang yang asyik tersandung daripada dari satu kesilapan dasar dan pusingan U SOP ke yang berikutnya.