Malaysia Dateline

Covid-19: 4,214 kes baharu, 9 dari 14 kluster babit tempat kerja

Kes baharu Covid-19 setakat tengah hari tadi sebanyak 4,214 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 219,173 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat sembilan kes import mendapat jangkitan dari luar negara.

“Hingga kini seramai 316 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 137 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau memberitahu kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula masih sebanyak 48,074 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan hari ini terdapat 10 kes kematian dilaporkan dengan semuanya membabitkan warganegara.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 770 kes bersamaan 0.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

Dalam masa sama, pola kluster di tempat kerja terus mendominasi pertambahan kluster baharu dalam tempoh 24 jam lalu.

Daripada 14 kluster lagi dikesan hari ini, sembilan membabitkan tempat kerja, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dan dua kluster komuniti.

1. Kluster Tapak Bina Jalan Lagoon
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Petaling di Selangor, hasil saringan bersasar sebuah tapak binaan di mana sejumlah 880 individu disaring dan 76 daripadanya positif.

2. Kluster Industri Puchong
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Petaling di Selangor, hasil saringan bersasar sebuah kilang di mana 44 individu dikesan positif selepas 200 saringan dilakukan.

3. Kluster Kampung Parit Masjid
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Muar di Johor babitkan sebuah kilang dan 44 dikesan positif selepas 183 individu disaring.

4. Kluster Tapak Bina Jalan Puchong
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di mana sejumlah 553 individu disaring dan 332 positif.

5. Kluster Ladang Sungai Pin
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kinabatangan di Sabah, hasil saringan bersasar sebuah kilang di mana sejumlah 36 individu telah disaring dan semuanya positif.

6. Kluster Persiaran Raya
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Manjung di Perak, kluster ini melibatkan pekerja-pekerja kilang di Kampung Acheh, Manjung di mana sejumlah 95 individu disaring dan 18 positif.

7. Kluster Lapangan Siber
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kinta di Perak, membabitkan pekerja-pekerja kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan, Ipoh dengan 21 dikesan positif selepas 50 saringan dilakukan.

8. Kluster Bintang Daily
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Meradong di Sarawak di mana sejumlah 46 individu disaring dan lapan positif.

9. Kluster Nilam Tiga
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan babitkan pekerja-pekerja kilang di Jalan Nilam 3, Bandar Utama Nilai, dengan 63 dikesan positif selepas 237 saringan dibuat.

10. Kluster Sungai Purun
Kluster kumpulan berisiko tinggi ini melibatkan daerah Hulu Langat dan Petaling di Selangor melibatkan kakitangan dan penghuni sebuah pusat jagaan di Semenyih, di mana 44 individu disaring dan 27 positif.

11. Kluster Jalan Empat
Kluster kumpulan berisiko tinggi ini melibatkan daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hasil saringan individu bergejala melibatkan kakitangan di sebuah pusat perubatan di mana 89 individu disaring dan 29 positif.

12. Kluster Jalan Tan
Kluster kumpulan berisiko tinggi ini melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hasil saringan bersasar sebuah pusat jagaan warga emas yang terletak di Jalan Taman Tan Yew Lai, di mana 17 dikesan positif selepas 31 individu disaring.

13. Kluster Kampung Samin
Kluster komuniti ini melibatkan daerah Sipitang, Kota Belud, dan Tuaran di Sabah, hasil saringan individu bergejala yang mempunyai sejarah menghadiri satu majlis di Kampung Samin di mana 121 individu disaring dan 33 positif.

14. Kluster Padas Damit
Kluster komuniti ini melibatkan daerah Beaufort di Sabah dan kes-kes dalam kluster ini mempunyai sejarah menghadiri satu majlis di Kampung Shahbandar, Beaufort di mana sejumlah 160 individu disaring dan 32 daripadanya dikesan positif.