Malaysia Dateline

COVID-19: 5 kes baharu, 86 kes aktif

Hari ini terdapat lima kes baharu kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,734 kes, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, katanya jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 86 kes dan mereka telah diasingkan serta diberkani rawatan.

“Terdapat dua kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,526 kes (97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Lima kes yang baharu ini, katanya, satu kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara Malaysia yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

“Daripada empat kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan bergejala di Kuching, Sarawak.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan. Tiga kes lagi adalah dalam kalangan warganegara Malaysia, iaitu Selangor satu kes, Sarawak dua kes dan satu kes saringan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan,” katanya.

Sehingga kini, terdapat lima kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes,” katanya.