Malaysia Dateline

COVID-19: 50 kes baharu, satu kematian hari ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 103 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,452 kes (62.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Justeru, bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah lebih dua kali ganda bilangan kes yang dilaporkan.

Sehingga 22 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 50 kes baharu yang telah dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,532 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,987 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai 43 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 25 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 93 kes (1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Kes kematian ke-93 (kes ke-5483) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah dan darah tinggi.

Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 22 April 2020 jam 9.15 pagi.