Malaysia Dateline

Covid-19: 54 pesakit pulih, kes baharu kekal dengan dua angka

Sebanyak 54 kes berkaitan positif Covid-19 telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini, maklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka 54 itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari wad, adalah sebanyak 3,349 kes atau 61.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 57 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif wabak itu adalah sebanyak 5,482 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,041 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada 57 kes, 18 adalah kes import daripada warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara, manakala 39 kes adalah kes penularan tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini seramai 43 kes positif wabak ini dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 27 kes memerlukan bantuan pernafasan. Selain itu, kepatuhan masyarakat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat amat penting dalam membantu kerajaab menurunkan kebolehjangkitan Covid-19 dalam komuniti.

“Ini terutama bagi memastikan tidak berlaku jangkitan merentasi negeri, daerah dan mukim.

Selain daripada aktiviti kawalan sempadan, pematuhan masyarakat terhadap PKP akan terus memastikan penularan jangkitan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya,” ujarnya lagi.