Malaysia Dateline

COVID-19: 57 daripada 68 kes baharu bukan warganegara Malaysia

Sebanyak 68 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 6,535 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 57 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Ingin dimaklumkan bahawa daripada 68 kes baharu yang dilaporkan hari ini, empat kes import dilaporkan.

“Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 64 kes, di mana sebanyak tiga kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,564 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” maklum beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sehingga kini, seramai 18 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, daripada jumlah tersebut, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 107 kes (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya lagi.