Malaysia Dateline

Covid-19: 57 kes baharu, 84 pulih hari ini

Sebanyak 57 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 6,002 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 57 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 25 kes adalah kes import.

Beliau berkata, dengan 25 kes import tersebut, ini bermakna kes penularan tempatan adalah 32 kes sahaja.

“Sehingga kini, seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 14 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak ini adalah 1,729 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” maklum beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Untuk kes yang sembuh pula, Dr Noor Hisham memaklumkan, terdapat 84 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan dibenarkan pulang adalah sebanyak 4,171 kes bersamaan 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya lagi.