Malaysia Dateline

Covid-19: 57 kes positif baharu, tiada rekod kematian

Setakat jam 12 tengahari tadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan pertambahan 57 kes baharu yang menjadikan keseluruhan jumlah kes positif Covid-19 mencecah 7,819 kes.

Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 57 kes baharu yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula sebanyak 1,351 kes.

“Daripada 47 kes penularan tempatan, 43 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia di mana 24 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang.

“Oleh itu, kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah 4 kes sahaja,” jelasnya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Pada sama sama, Noor Hisham turut memaklumkan, setakat 31 Mei, terdapat 23 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Justeru, beliau memberitahu jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan discaj dari wad sebanyak 6,353 kes iaitu 81.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Namun begitu, sehingga kini, ujarnya, seramai sembilan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga berkata, tiada kes kematian yang dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, hari ini.

Jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di negara ini kekal sebanyak 115 kes iaitu 1.47 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.