Malaysia Dateline

COVID-19: 58 keluarga di Kajang Utama terima bakul makanan

Umum mengetahui pandemik COVID-19 ketika ini langsung tidak menunjukkan akan berakhir bahkan setiap hari beribu-ribu kes positif dilaporkan, suasana ini sekaligus mengekang mata pencarian rakyat terutama yang bekerja sendiri apatah lagi yang dibuang kerja.

Memahami nasib yang dihadapi rakyat hari ini, ADN Sungai Ramal Mazwan Johar bertindak menyalurkan sumbangan bakul makanan di kawasan beliau.

Semalam, seramai 58 keluarga di Kajang Utama telah menerima bakul makanan yang bernilai RM100 di mana mengandungi lebih 14 jenis barangan keperluan makanan.

Mewakili Mazwan, Ketua Cawangan Amanah Kajang Utama Rasidi Zainal serta Ajk Cawangan telah menyerahkan bakul makanan kepada golongan yang bersasar iaitu mereka yang tidak berkemampuan dan pendapatan terjejas.

“Dengan sumbangan ini, dapatlah meringankan beban mereka, penduduk khariah Kajang Utama,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Salah seorang penerima sumbangan Redzuan Ibrahim yang ditemui, menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan YB Mazwan yang menyumbang bakul makanan kepadanya.

Katanya, sumbangan seperti ini wajar diteruskan secara bersasar memandangkan pandemik COVID-19 belum nampak akan berakhir.

“Ramai yang hilang sumber pendapatan sama ada yang bekerja sendiri atau dibuang kerja akibat Covid, mereka akan rasa sedikit lega dengan sumbangan yang diberikan,” katanya.