Malaysia Dateline

Covid-19: 589 kes baharu, empat lagi kluster dikesan

Jangkitan baharu Covid-19 hari ini terus kekal tiga angka sebanyak 589 kes dengan empat lagi kluster baharu dikesan iaitu di Sabah, Perak, Putrajaya dan Labuan.

Terdapat 75 kluster aktif setakat ini manakala 103 daripada 178 kluster dikesan telah tamat.

Jumlah keseluruhan positif Covid-19 sebanyak 18,129 kes dengan seramai 103 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 31 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sabah terus kekal mencatatkan kes tinggi iaitu 304 kes atau 51.6 peratus daripada jumlah kes hari ini.

“Ingin dimaklumkan daripada 589 kes baharu yang dilaporkan, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang semuanya membabitkan warga asing,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, hari ini.

Selain itu, beliau memberitahu terdapat 409 kes sembuh hari ini sekali gus menjadikan jumlah tertinggi pernah dicatatkan sejak penularan wabak tersebut di negara ini.

Jumlah pesakit sembuh tertinggi pernah dilaporkan di negara ini ialah 350 kes kelmarin.

Beliau berkata, pertambahan kes sembuh itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12,014 kes bersamaan 66.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Daripada jumlah kes pulih itu, antara negeri yang mencatatkan kes sembuh ialah Sabah iaitu 111 kes, diikuti Selangor iaitu 50 kes, Terengganu lima kes, Johor mencatatkan lapan kes dan Pahang satu kes,” ujarnya.

Sementara itu, tiga lagi kes kematian dilaporkan di Sabah menjadikan keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia setakat ini sebanyak 170 kes.