Malaysia Dateline

COVID-19: 6 kes kluster baharu, Kidurong Sarawak dikesan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mendapati satu kluster baharu telah dikesan di Sarawak iaitu kluster Kidurong yang mana terdapat enam kes bagi kluster ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks bagi kluster ini adalah merupakan seorang pelajar Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di mana beliau dikesan positif pada 12 Jun 2020.

Katanya, aktiviti pengesanan kes secara aktif mendapati bahawa ahli keluarga beliau juga telah dikesan positif COVID-19 (iaitu ibu, bapa dan dua adik beradik beliau).

“Salah seorang rakan kepada ayah kes ini juga didapati positif COVID-19, menjadikan ini sebagai sebuah kluster baharu di Kidurong,” katanya dalam sidang media hari ini.

Susulan itu, katanya, siasatan dan saringan kontak rapat telah dijalankan di mana setakat ini seramai 231 orang telah dikenalpasti.

Bagaimanapun katanya, 163 orang telah disaring dan kesemuanya adalah negatif COVID-19, dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, hari ini terdapat enam kes baharu telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,535 kes.

Daripada enam kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

Sehingga kini, sebanyak tiga kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes.