Malaysia Dateline

Covid-19: 60 pesakit pulih, 31 kes baharu, tiada kematian dicatatkan

Sebanyak 31 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,009 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, daripada 31 kes baharu yang dilaporkan, sepuluh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Manakala 21 kes lagi adalah penularan tempatan di mana sepuluh kes adalah bukan warganegara Malaysia.

“Sehingga kini, terdapat 11 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dimaklumkan juga, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,189 kes,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan, sebanyak 60 kes telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari wabak itu dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,706 kes iaitu bersamaan 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Justeru itu katanya, bilangan kes pulih adalah hampir dua kali ganda kes baharu yang dilaporkan.

Berdasarkan maklumat terkini, Dr Noor Hisham memberitahu, tiada kematian dicatatkan setakat ini dan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal sebanyak 114 kes bersamaan 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.