Malaysia Dateline

COVID-19: 629 kes baharu, 99 pesakit dalam ICU, 6 meninggal dunia

Kes positif COVID-19 dalam negara terus mencatat jumlah yang tinggi setiap hari, hari ini sebanyak 629 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah
sebanyak 18,758 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dengan jumlah yang baharu ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 6,323 kes.

Katanya, daripada 629 kes baharu yang dilaporkan, terdapat dua kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara yang kesemuanya iaitu New Zealand dan Singapura.

“627 kes penularan di dalam negara, 577 kes adalah warganegara Malaysia dan 50 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, 16 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 437 kes,”katanya.

Namun katanya, terdapat 99 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan enam kes kematian berkaitan COVID-19 iaitu lima orang dari Sabah dan seorang dari Wilayah Persekutuan.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 176 kes,” katanya.