Malaysia Dateline

Covid-19: 67 kes baharu dan tiada kematian dicatatkan

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang ‘bercuti’ semalam dan tidak mengadakan sidang media, petang ini memaklumkan bahawa sepanjang 24 jam lalu sehingga tengah hari, terdapat 67 kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 6,656 kes.

Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah pesakit yang telah pulih adalah sebanyak 96 kes dan keseluruhan kes yang telah discaj adalah pada kadar 75.5%.

Menurutnya lagi, jumlah kes yang sedang dirawat di Unit Kawalan Rapi (ICU) adalah sebanyak 18 kes dan 6 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tidak ada kematian dicatatkan dan jumlah kematian setakat ini adalah sebanyak 108 kes.

Dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu, Dr Noor Hisham juga menjelaskan bahawa aktiviti pendekatan tertumpu yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menunjukkan hasil positif dalam mengesan lebih banyak kes Covid-19.

Katanya, sehingga 10 Mei 2020, KKM telah mengenal pasti beberapa kumpulan sasar seperti berikut:

• Peserta perhimpunan di Seri Petaling dan kontak rapat mereka;
• Pelajar serta kakitangan madrasah dan tahfiz yang berkait rapat dengan perhimpunan di Seri Petaling;
• Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan ditempatkan di pusat-pusat kuarantin;
• Anggota kesihatan KKM;
• Penduduk di lokaliti-lokaliti PKPD;
• Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dan pasar-pasar yang berkait rapat dengan PBKL;
• Pekerja asing di tapak pembinaan di zon merah; dan
• Rumah jagaan warga emas.

“Masyarakat tidak perlu khuatir dengan peningkatan kes baharu susulan pendekatan tertumpu yang agresif dan proaktif oleh Kerajaan kerana ini menunjukkan keberkesanan aktiviti yang dijalankan ini.

“Kes-kes yang dikesan ini sememangnya diasingkan dan diberi rawatan di hospital bagi memastikan virus Covid-19 tidak terus menular dalam kalangan masyarakat,” kata beliau.