Malaysia Dateline

Covid-19: 69 peratus kes sporadik, Selangor tertinggi

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan negara merekodkan sebanyak 578,105 kes Covid-19 dari 1 Januari hingga 19 Jun lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, Malaysia telah merekodkan sebanyak 578,105 kes positif pandemik dengan 398,846 kes atau 69 peratus adalah kes sporadik.

Selangor mencatatkan kes sporadik tertinggi dengan 151,725 kes (38 peratus) diikuti Kuala Lumpur sebanyak 44,517 kes (11.2 peratus) dan Sarawak dengan 40,889 kes (10.3 peratus).

Bagi minggu epidemik ke-24 (13 Jun hingga 19 Jun), Lembah Klang mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi di negara ini dengan daerah Petaling mencatatkan 3,905 kes sporadik disusuli Hulu Langat (2,783 kes) dan Klang dengan 2,482 kes.

“Kes-kes sporadik bermaksud kes-kes yang dikesan dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan SOP dengan betul,” kata KKM menerusi Twitter hari ini.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan sangat penting bagi semua pihak mengambil maklum hal tersebut dan melindungi diri serta keluarga masing-masing daripada bahaya Covid-19.

“Sukar bagi kita untuk mengetahui siapa yang mempunyai Covid-19 dalam kalangan kita,” katanya lagi.