Malaysia Dateline

COVID-19: 7 Kluster aktif di Sarawak

Sebanyak tujuh kluster disahkan masih aktif di Sarawak, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Menerusi kenyataan JPBN, tujuh kluster berkenaan ialah Kluster Tapak Pembinaan, Kluster Syarikat Kejuruteraan, Kluster Mambong, Kluster Pusat Perubatan, Kluster Jupiter, Kluster Pasar Stutong, dan Kluster Jeti.

“Kluster Jeti adalah yang terbaharu telah dikesan pada 19 Julai 2020 (semalam).

“Kluster tersebut melibatkan dua kes positif COVID-19 di sebuah jeti Kapal Perikanan di Pending, Sarawak iaitu kes ke-584 dan kes ke-603.

“Kedua-dua kes itu melibatkan lelaki warganegara Indonesia yang bekerja di syarikat perikanan yang sama,” kata JPBN dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, seramai 65 orang kontak telah dikenalpasti yang mana 25 orang kontak telah disaring serta dua daripadanya telah positif dan 23 orang adalah negatif.

“Manakala, seramai 21 orang masih belum diambil swab kerana masih berada di laut,” kata kenyataan itu.

Ujar kenyataan itu, pada masa sama terdapat satu lagi kluster iaitu Kluster Kidurong telah tamat.

“Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengisytiharkan bahawa Kluster Kidurong telah tamat.

“Kes positif COVID-19 terakhir yang melibatkan Kluster Kidurong telah dilaporkan pada 6 Julai lalu dengan seramai 230 orang kontak rapat yang melibatkan ahli keluarga, rakan tempat kerja dan kontak sosial telah disaring.

“Seramai lapan (8) orang atau 3.48% telah didapati positif COVID-19,”tambah kenyataan itu lagi.