Malaysia Dateline

Covid-19: 73 pesakit pulih, 17 kes baharu dicatatkan

Sebanyak 17 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,872 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, daripada 17 kes baru yang dilaporkan, enam adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Manakala 11 kes adalah penularan tempatan yang melibatkan lima bukan warganegara Malaysia.

“Sehingga kini, terdapat 13 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,247 kes,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, terdapat 73 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari wabak ini dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,512 kes bersamaan 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Kes kematian ke-113 (kes ke-6856) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 53 tahun dan mempunyai sejarah penyakit barah dan darah tinggi.

“Beliau merupakan seorang kakitangan perubatan KKM di Sabah (namun telah bercuti sakit disebabkan barah).

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas pada 5 Mei 2020 disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot.

“Beliau didapati positif COVID-19 dan disahkan meninggal dunia pada 7 Mei 2020 jam 1.30 petang,” ujarnya lagi.