Malaysia Dateline

COVID-19: 799 kes baharu, 10,392 kes aktif seluruh Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sehingga pukul 12:00 tengah hari ini, sebanyak 799 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 30,889 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,392 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri Sabah terus mencatatkan kes terbanyak iaitu 466 kes (58.3 peratus) dan negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 170 kes (21.3 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, keempat-empat negeri ini telah menyumbang sebanyak 636 kes (79.6 peratus) daripada jumlah harian kes positif COVID-19 secara keseluruhan.

“Kesemua negeri-negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, terdapat 90 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 20 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 249 kes,” katanya.

Pada hari ini, katanya Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih COVID-19 sebanyak 491 kes menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 20,248 kes (65.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).