Malaysia Dateline

COVID-19: 822 kes baharu, 86 pesakit dalam ICU

Sebanyak 822 kes baharu positif COVID-19 telah dilaporkan menjadikan jumlah kes di Malaysia adalah sebanyak 42,872 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,497 kes.

Daripada 822 kes baharu pada hari ini, katanya terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Kes-kes tersebut melibatkan satu warganegara dan enam bukan warganegara,” katanya.

Sehingga kini, jelas beliau terdapat 86 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan COVID-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 302 kes (0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Beliau juga memaklumkan terdapat tiga kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini Kluster Karamunting, Kluster Saga dan Kluster Haven, masing-masing dari Sabah.