Malaysia Dateline

Covid-19: 823 kes lagi sah dijangkiti, 43 kluster ada kes baharu

Kementerian Kesihatan mencatatkan 823 kes positif Covid-19 baharu hari ini dengan 533 kes daripadanya berlaku di Sabah menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 26,565 kes.

Pulau Pinang menduduki tangga kedua jumlah kes baharu tertinggi iaitu 97 kes diikuti Selangor (88), Wilayah Persekutuan Labuan (26), Negeri Sembilan (22), Sarawak (16), Johor (15) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 10 kes.

Sementara itu, tujuh kes baharu positif Covid-19 terdapat di Terengganu yang melibatkan kluster baharu iaitu Kluster Makekar manakala Perak merekodkan enam kes baharu.

Bagi Kedah, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya masing-masing melaporkan satu kes baharu. Hanya Pahang tiada kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes aktif Covid-19 sebanyak 9,202 kes dengan 99 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada 99 kes di ICU, 30 pesakit memerlukan bantuan pernafasan setakat tengah hari tadi.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 43 kluster merekodkan kes baharu hari ini termasuk 9 kluster baharu iaitu Omadal, Titir, Bandaran, Jambul, Makekar, Bayan, Mentari, Jernih dan Seladah.

Menurutnya, kes tertinggi iaitu 94 kes dilaporkan di Kluster Penjara Seberang Perai manakala Penjara Kepayan 75 kes.

Sementara itu, terdapat lapan kes kematian kesemuanya membabitkan warga tempatan di Sabah sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat jangkitan Covid-19 sebanyak 229 kes.