Malaysia Dateline

Covid-19: 8,436 kes sembuh, rekod tertinggi setakat ini

Seramai 8,436 pesakit Covid-19 sembuh hari ini sekali gus rekod sembuh harian tertinggi sejak wabak tersebut melanda negara.

Angka itu menjadikan kumulatif sembuh sebanyak 815,293 kes atau 84.49 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19.

Sebelum ini, kes pulih tertinggi dilapor pada 12 Jun lalu dengan 8,334 kes.

Pada masa sama, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 hari ini melambung kepada 142,051 kes berbanding 137,587 kes semalam.

Sebanyak 13,034 kes baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan 938 pesakit Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Sehingga jam 12 tengah hari tadi juga, seramai 459 pesakit masih memerlukan alat bantuan pernafasan. Angka sama juga direkodkan semalam.

Sementara itu, wabak Covid-19 terus menelan lagi 134 nyawa menjadikan kumulatif kematian sebanyak 7,574 kes iaitu 0.79 peratus.