Malaysia Dateline

Covid-19: 847 kes baharu, 8,183 kes aktif hari ini

 

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 847 kes baharu positif Covid-19 iaitu 842 kes tempatan dan lima kes import menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 23,804 kes.

Sabah terus mencatatkan kes harian tertinggi sebanyak 578 kes diikuti Selangor (137), Negeri Sembilan (38 termasuk 33 pelajar tahfiz di Senawang), Labuan (29) dan Kuala Lumpur (23).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes di Sabah disumbangkan dari Kluster Penjara Kepayan selain kluster lain.

Menurutnya, jumlah kebolehjangkitan Covid-19 dalam negara pada masa ini berjumlah 8,183 kes.

“Selain Sabah, 19.4 peratus atau 164 kes dicatatkan di Lembah Klang dan daripada jumlah itu 71 kes atau 43.3 peratus dikesan daripada kluster sedia ada.

“Lembah Klang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan Covid-19,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, hari ini.

Dalam masa sama, seramai 486 pesakit sembuh dengan jumlah keseluruhan sembuh sebanyak 15,417 kes manakala lima kematian baharu dilapor menjadikan jumlah korban sebanyak 204 kes.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 90 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat jam 12 tengah hari ini dengan 29 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.