Malaysia Dateline

COVID-19: 9 kes baharu, seorang sahaja dirawat di ICU

Sebanyak sembilan kes COVID-19 baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,764 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 96 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah daripada sembilan kes baharu yang
dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga orang warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

“Empat kes tersebut dari negara Indonesia seramai dua orang, Singapura satu orang dan Pakistan seorang.

“Daripada lima kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara Malaysia iaitu kes saringan sebelum berlepas ke luar negara (China).

“Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak,” katanya.

Katanya, baki empat kes penularan di dalam negara pula adalah dalam kalangan warganegara Malaysia, iaitu seperti membabitkan negeri Sarawak sebanyak empat kes dan satu kes saringan kontak rapat dalam kluster Mambong.

Sehingga hari ini, hanya satu kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes,” katanya.

Lima kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,546 kes.