Malaysia Dateline

COVID-19: 91 pesakit pulih dibenarkan discaj, 3 kes kematian hari ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 91 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, iaitu jumlah discaj terbesar setakat ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 479 kes (18.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga 30 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 156 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID- 19 di Malaysia adalah sebanyak 2,626 kes.

Seramai 94 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan,  sehingga kini terdapat pertambahan tiga (3) lagi kes kematian berkaitan COVID-19.

Kes kematian ke-35 (kes ke-1952) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 57 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Indonesia.

Kes kematian ke-36 (kes ke-1941) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac 2020.

Kes kematian ke-37 (kes ke-2471) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 46 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun. Beliau telah dirawat di Hospital Miri, Sarawak.