Malaysia Dateline

Covid-19: Adun Nenggiri akui mungkin terlalai abai SOP

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri Ab Aziz Yusoff berkata, beliau tidak pasti bagaimana mendapat jangkitan Covid-19 kerana bertemu terlalu ramai orang di pelbagai lokasi termasuk di ibu negara sebelum disahkan dijangkiti pandemik itu.

Wakil rakyat BN Kelantan itu baru pulih daripada jangkitan Covid-19 dan telah dipotongkan gelang merah jambu di Unit Inspektorat Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang semalam.

“Dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, mungkin saya terlalai lalu mengabaikan SOP (prosedur operasi standard) tanpa sengaja,” dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Ab. Aziz, 59, mengakui masih trauma dengan pengalaman sejurus disahkan positif Covid-19 termasuk terasing daripada keluarga sendiri.

Beliau memberitahu tanda-tanda awal jangkitan Covid-19 yang dialaminya ialah badan berasa begitu lemah dan demam.

Pemimpin Umno itu didapati positif Covid-19 bersama isterinya, Roshana Hashim, 56, serta seorang anak mereka pada 10 Januari lalu.

Selepas lapan hari dirawat di Hospital Kuala Krai, beliau kemudiannya menjalani kuarantin kendiri di rumahnya di Taman Kesedar Jaya, Gua Musang.

Katanya, sepanjang lapan hari di hospital itu, beliau cukup terkesan apabila terpaksa mengasingkan diri daripada orang ramai dan tidak dibenarkan menerima lawatan, termasuk oleh ahli keluarganya sendiri.

Ab. Aziz antara 30 ahli politik yang dijangkiti Covid-19 bermula sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu.

Selepas beliau dan Ketua Pemuda Umno Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sah dijangkiti Covid-19; Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan isterinya pula disahkan positif wabak itu, 11 Januari lalu.

Semalam, seramai 752 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 718 daripada jumlah itu dikompaun manakala 34 lagi direman.

Kesalahan direkodkan membabitkan 277 individu tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (137), tiada penjarakan fizikal (128), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (73), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (39) dan 98 bagi lain-lain.