COVID-19: Alliance Bank tawar inisiatif kewangan kepada pelanggan yang terjejas

COVID-19: Alliance Bank tawar inisiatif kewangan kepada pelanggan yang terjejas

Alliance Bank Malaysia Bhd menawarkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas akibat penularan COVID-19 (novel koronavirus) yang sedang berlaku sekarang menerusi beberapa inisiatif relif kewangan.

Alliance Bank dalam satu kenyataan hari ini berkata pelanggan yang terjejas layak mendapat pelepasan kewangan termasuk penangguhan bayaran ansuran pinjaman atau bayaran faedah pembiayaan (prinsipal dan faedah/keuntungan) dan penyusunan semula  dan penjadualan semula pinjaman sehingga enam bulan, serta pengecualian bayaran lewat bagi pinjaman atau pembiayaan.

“Kami komited untuk membantu meringankan bebanan pelanggan kami dan memastikan kesinambungan perniagaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif  Kumpulan Alliance Bank Joel Kornreich.

Sementara itu, rakan insurans bank tersebut, Manulife Insurance Bhd, menyediakan perlindungan perubatan kepada semua pemegang polisi yang mendapatkan rawatan berkaitan dengan COVID-19 dalam Malaysia.

Mereka juga melanjutkan tempoh pembayaran sehingga 90 hari bagi semua polisi insurans hayat kepada pemegang polisi yang terlibat.

Pemegang polisi dengan polisi yang dikeluarkan atau dikembalikan semula sebelum 30 Jan, 2020, tempoh menunggu 30 hari mereka akan diketepikan apabila mendapat rawatan perubatan bagi COVID-19.

Bank itu juga menawarkan perlindungan insurans percuma kepada pelanggan mereka apabila membuka akaun pelaburan Alliance SavePlus atau akaun pelaburan antara 14 Feb, 2020 dan 13 April, 2020.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Alliance Bank boleh layari www.alliancebank.com.my.– BERNAMA