Malaysia Dateline

Covid-19: Amerika, Italy dan Sepanyol kini dahului China

Tiga negara maju, Amerika Syarikat, Italy dan Sepanyol kini mendahului China samada dalam kes positif atau kematian akibat Covid-19.

Menurut data terkini itu, Amerika kini paling ramai dijangkiti wabak itu dengan jumlah positif penyakit yang bermula dari Wuhan China itu adalah 205,036 manakala 4,516 sudah meninggal dunia.

Italy pula di tangga kedua iaitu 110,574 kes. Namun negara yang terletaknya pusat kegiatan agama Kristian, Vatican City, mencatatkan kematian paling ramai di dunia iaitu 13,155 orang.

Sepanyol, negara yang terkenal dengan permainan bolasepaknya kini menduduki tempat ketiga dengan jumlah kes adalah 102,136 di samping mencatatkan 9,053 kematian.

China yang sudah mula pulih mencatatkan hanya 36 kes baru menjadikan jumlahnya 81,554. Negara itu juga mencatatkan hanya 7 kematian baru menjadikannya 3,312.

Selain ke empat-empat negara itu, Jerman, Perancis, Iran dan United Kingdom adalah negara-negara di dunia yang kini terkesan teruk akibat Covid – 19.

NEGARA SEDANG MENINGKAT  COVID-19

Sementara itu, Indonesia, India dan Algeria adalah tiga negara yang perlu diperhatikan ekoran bilangan kematian baru melonjak naik sejak kebelakangan ini.

Indonesia mencatatkan 21 kematian semalam menjadikannya 157 kematian. Jumlah kes yang disahkan positif adalah 1,677 dengan kes baru semalam adalah 149.

India pula mencatatkan 10 kematian baru semalam menjadikannya 45 manakala kes positif baru adalah 240 menjadikannya 1,637 kes.

Algeria pula mencatatkan 14 kes baru semalam menjadikannya 58 kematian manakala kes positif adalah 847 dengan 131 kes baru akibat Covid-19.