Malaysia Dateline

Covid-19: Angka pesakit pulih atasi kes dijangkiti hari ini

Seramai 2,506 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh sepenuhnya dengan mengatasi angka jangkitan baharu membabitkan 1,683 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatifnya mencecah 313,460 kes dengan 20,333 kes aktif.

Beliau berkata, hanya satu kes import dilaporkan, manakala baki 1,308 jangkitan lagi membabitkan penularan dalam negara.

Katanya, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi hari ini dengan 746 kes baharu atau 44.3 peratus dan daripada jumlah itu sebanyak 639 kes (85.7 peratus) adalah daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Sarawak sebanyak 201 kes (11.9 peratus) dan Pulau Pinang dengan 172 kes baharu (10.2 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, terdapat 174 kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 81 pesakit masih memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau berkata, tiga kes kematian membabitkan warganegara hari ini iaitu dua kes dilaporkan di Selangor dan satu di Pahang.

Kes kematian itu membabitkan mereka yang berusia antara 78 hingga 85 tahun dan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 1,169 kes.