Malaysia Dateline

Covid-19: Angka tertinggi 2,234 kes hari ini

Sebanyak 2,234 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini sekali gus rekod harian tertinggi menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini mencecah 78,499 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan jumlah kes baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di negara ini sebanyak 11,867 kes.

Jelasnya, seramai 124 pesakit Covid-19 sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 60 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menurutnya, Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian lebih 60 peratus kes baharu dengan Selangor sahaja mempunyai 1,428 kes.

Sementara itu, mengenai tiga kes kematian yang dilaporkan hari ini Dr Noor Hisham berkata ia membabitkan dua kes di Sabah dan satu kes di Labuan.

Beliau memberitahu, pertambahan kes kematian itu menjadikan jumlah kes kematian di negara ini sebanyak 396 kes bersamaan 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.