Malaysia Dateline

COVID-19: Angkasa cadang koperasi kaji semula strategi pelan perniagaan

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad Angkasa (Angkasa) hari ini mencadangkan ahlinya yang terjejas akibat penularan COVID-19, mengkaji semula strategi pelan perniagaan bagi mengurangkan impak terhadap perniagaan mereka.

Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata koperasi yang terjejas khususnya yang menjalankan perniagaan inap desa, pelancongan, haji dan umrah, perlu memikirkan strategi lain yang tidak terkesan dengan COVID-19.

Selain itu, beliau berkata ekoran penularan itu, sasaran awal perolehan gerakan koperasi sebanyak RM50 bilion seperti yang ditetapkan dalam Dasar Koperasi Negara 2020, berkemungkinan tidak mampu dicapai.

“Pencapaian pada 2018 ialah RM40.3 bilion dan jangkaan untuk tahun lepas sekitar RM43 bilion. Sepatutnya tahun 2020, sasaran ialah RM50 bilion, walaupun ada pelarasan ditetapkan RM60 bilion sehingga 2025, kalau ini tidak diselesaikan, sasaran RM50 bilion itu mungkin itu tidak dapat dicapai.

“Ia boleh dicapai sekiranya koperasi mengkaji semula rancangan perniagaan mereka, sebagai contoh, sekiranya koperasi banyak bergantung kepada eksport, akibat daripada halangan maka mereka harus menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak terkesan sangat dengan COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan persidangan Angkasa Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Abdul Fattah berkata semua promosi barangan koperasi ke luar negara dan import barangan daripada luar kini ditangguhkan berikutan COVID-19.

Beliau berkata pihaknya juga bersedia memberi bimbangan dan motivasi kepada koperasi yang terjejas dan ia berdasarkan kepada lapan sektor peneraju pembangunan perniagaan koperasi antaranya pemborongan dan peruncitan, kewangan serta inovasi dan teknologi.

“Sehubungan itu, Angkasa mencadangkan mereka menumpukan perhatian kepada aktiviti pemborongan dan peruncitan kerana ia aktiviti yang melibatkan perkhidmatan kepada ahli selain mempunyai potensi besar,” katanya.

Selain itu beliau berkata sehingga 30 Jun tahun lepas, sebanyak 14,417 koperasi membabitkan seramai 6.05 juta ahli bernaung dibawah Angkasa.

Perolehan koperasi pada tahun ini dijangka akan terjejas sebanyak kira-kira RM100 juta sekiranya masalah COVID-19 terus berlanjutan hingga hujung tahun ini dan setakat dua bulan ini, Februari dan Mac, jumlah perolehan yang terjejas adalah RM8 juta.

“Mengenai penangguhan import barangan hardware daripada China pula, perolehan membabitkan 100 koperasi dijangka terjejas sebanyak RM44 juta sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata sektor koperasi menyumbang sebanyak tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sementara itu, mengulas mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan pada Khamis lepas, Abdul Fattah menyifatkannya langkah yang baik namun perlu ditambahbaik dengan melibatkan peranan sektor koperasi.– BERNAMA