Malaysia Dateline

Covid-19: Anwar seru pimpinan parti akur arahan Kementerian Kesihatan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak termasuk pimpinan parti untuk mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu saringan dan kuarantin.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, kes jangkitan wabak tersebut yang mencatatkan 82 kes baharu semalam semakin merisaukan.

“Saya pohon semua pihak termasuk pimpinan parti akur dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkait COVID-19 terutama dalam isu saringan dan kuarantin.

“Peningkatan mendadak kes terutama jangkitan dalam komuniti amat membimbangkan.

“Saya berdoa agar rakyat Malaysia sentiasa patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) KKM dan dilindungi dari wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KKM telah mengkategorikan Sabah sebagai “kawasan berisiko tinggi” dengan empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna telah dikenal pasti sebagai Zon Merah Covid-19.

Terdapat 21 kes baharu jangkitan Covid-19 dikesan dalam kalangan individu yang pulang dari Sabah sejak 20 September hingga semalam.

Setakat ini, tiga pemimpin Umno-BN sah dijangkiti Covid-19 sejurus pulang dari berkempen dalam PRN Sabah iaitu calon BN DUN Pitas, Sufian Abdul Karim; Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razlan Muhammad Rafii dan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.