Malaysia Dateline

Covid-19: Balik dari Sabah, muncul kluster baharu di Selangor

Selepas muncul Kluster Setapak di Kuala Lumpur semalam, satu kluster baharu positif Covid-19 telah dikenalpasti di Selangor juga berkaitan dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Jalan Apas itu membabitkan kes indeks ke-10782 dan kes ke-10783 iaitu pasangan suami isteri warganegara Malaysia.

Menurutnya, mereka telah berkunjung ke Tawau dan Semporna, Sabah daripada 13 hingga 16 September lalu.

“Kedua-dua kes indeks mula bergejala demam, batuk, dan selesema pada 18 September 2020 yang kemudian mendapatkan rawatan di pusat perubatan pada 19 September 2020.

“Mereka kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September 2020, didapati positif Covid-19 pada 26 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, ujarnya, enam lagi kes positif Covid-19 dikesan semalam hasil saringan kontak rapat.

Jelasnya, lapan kes dikesan positif Covid-19 dengan enam daripadanya kes baharu selepas saringan terhadap seramai 66 individu.

“56 individu adalah negatif dan dua individu masih menunggu keputusan,” katanya lagi.

Enam kes daripada Kluster Jalan Apas itu antara 10 kes baharu di Selangor yang diumum hari ini.

Empat daripada 10 kes itu yang kesemuanya warganegara juga membabitkan saringan pulang dari Sabah yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi.

Kesemua kes baharu di Selangor itu antara 115 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini dengan 112 kes penularan tempatan dan tiga kes import.

Sehubungan itu, jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sudah mencecah 11,034 kes dengan jumlah kes aktif 1,011 kes.

“Hingga kini seramai lapan individu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” kata Dr Noor Hisham lagi.