Malaysia Dateline

Covid-19: Bayi 4 bulan rekod kematian paling muda

Seorang bayi lelaki berusia empat bulan di Sabah menjadi antara korban pandemik Covid-19 hari ini.

Bayi yang mempunyai penyakit jantung itu meninggal dunia di Hospital Tawau sekali gus menjadi kes kematian paling muda berkaitan Covid-19.

Kematian bayi berkenaan antara 17 kes kematian dilapor hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian 826 kes atau 0.4 peratus daripada keseluruhan kes direkodkan sehingga kini.

Kes kematian pada hari ini membabitkan empat di Selangor, masing-masing tiga di Sarawak dan Sabah, Johor dan Pahang masing-masing dua kes serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan.

Selain bayi berusia empat bulan itu, mangsa berusia antara 34 hingga 81 tahun dan menghidap pelbagai penyakit kronik kecuali tiga daripadanya yang tidak dimaklumkan latar belakang penyakit.