Malaysia Dateline

Covid-19: Daerah Kuching kini berstatus jingga

Daerah Kuching kini bertukar daripada status merah kepada jingga dengan jumlah keseluruhan 37 kes Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan di Daerah Kuching dengan keseluruhan kes yang positif adalah 707 dan 12 kematian, semalam.

“Daerah Kuching telah merekodkan jumlah keseluruhan seramai 37 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari sekali gus menjadikannya bertukar daripada status zon merah kepada jingga.

“Bagi Daerah Miri dan Lawas kekal berstatus kuning dan lain-lain daerah (37 buah) kekal bersatus hijau,”jelas JPBN dalam satu kenyataan.

Namun, kataJPBN terdapat 26 kes aktif yang masih dalam rawatan di Kuching serta 25 orang yang disyaki (PUI) yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Hari ini, JPBN akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Daerah Kuching yang akan berakhir esok.