Malaysia Dateline

Covid-19 dan kegagalan Barat membendungnya?

Pada ketika dan saat kita sedang berperang dengan pandemik Covid-19 yang bermaharajalela di serata dunia, media arus perdana negara kita tidak memberikan perhatian kepada krisis pandemik yang berlaku di luar negara. Mungkin kerana terlalu menumpukan krisis yang sedang memuncak di dalam negara kita, liputan pun tertumpu kepada kejadian dalam negeri sahaja.

Saya tercari pandangan media arus perdana berhubung dengan apa yang sedang di Barat misalnya. Ini kerana ini adalah isu global dan kaitannya adalah penting kita membuat penilaian dalam era pasca Covid-19 nanti bagaimana hubungan kita dengan negara Barat misalnya.

Sekarang ini kebanyakan negara adalah sendiri-sendiri sahaja, iaitu menjaga diri masing-masing ibarat pohon-pohon dalam belantara yang luas. Mungkin agak terlalu awal untuk membuat suatu kesimpulan berhubung dengan Covid-19 dalam perhubungan antarabangsa. Namun satu perkara yang dapat diperkatakan sekarang ialah krisis ini akan merombak wajah bumi ini, terutamanya dari segi geo-politik, perhubungan antarabangsa dan keseimbangan kuasa.

Pada waktu dan ketika bersemaraknya virus Covid-19, Presiden AS, Donald Trump masih melakukan perang propagandanya dengan China. Beliau mungkin bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada gelisah memikirkan mengenai wabak tersebut. Trump menyerang China dengan mengatakan ini adalah virus China” dan jurucakap Kementerian Luar China, Lijian Zhao dalam respons berciapan mengatakan “Tentera AS-lah yang membawa wabak ini ke Wuhan”. Ini semasa Sukan Ketenteraan Antarabangsa yang berlangung di Wuhan. Pada pertengahan Mach, Washington Post menyebut bahawa teori anti-Amerika telah mendapat perhatian di China bahawa dakwaan mengenai Covid-19 berpunca dari AS tidak ditapis secara online. Pada tahap tertentu, tuduhan-tuduhan ini memaparkan perang maklumat.

Oleh itu pada peringkat ini, terdapat tiga kesimpulan yang dapat dipaparkan berhubung dengan Covid-19 dan perhubungan antarabangsa:

1. Beberapa hari lalu,artikel dalam The New York Times melaporkan bahawa usaha-usaha Barat bagi menentang koronavirus menemui kegagalan. Bahkan menurut salah seorang ahli sains poltitik Eropah, krisis semasa telah mendedahkan bankrupnya moral tamadun Barat kerana ia gagal dalam ujian kemanusiaan. China, Korea Selatan dan negara-negara-negara Asia Timur yang lain telah dapat mengurus krisis ini dengan baik lagi dalam membendung virus daripada negara Barat.

Semasa rencana ini ditulis, korban COVID-19 sejagat telah meningkat kepada 73,139 kematian, menurut satu laporan yang dikumpulkan AFP. Lebih daripada 1,310,930 baharu direkodkan di 191 negara dan wilayah sejak pandemik wabak ini muncul di China pada Disember lalu.

Daripada jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan, sekurang-kurangnya 249,700 kes sudah kembali pulih sepenuhnya. Jumlah yang dikumpulkan oleh pejabat AFP dari pihak berkuasa negara dan maklumat dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mungkin hanya sebahagian daripada angka sebenar jangkitan.

Dalam tempoh tersebut, lebih 5,005 kes kematian dan 66,187 jangkitan baharu direkodkan dengan angka tertinggi dicatatkan di Amerika Syarikat (AS) seramai 1,209 korban COVID-19, manakala 833 orang di Perancis dan Sepanyol (637).

Itali yang mencatatkan kematian pertama hujung Februari lalu merekodkan seramai 16,523 kematian dengan 132,547 jangkitan dan 22,287 sudah sembuh.

Sepanyol mencatatkan 13,055 kematian dan 135,032 jangkitan, diikuti AS dengan 10,389 kematian dan 347,003 kes iaitu paling tertinggi di dunia. Perancis pula mencatatkan 8,911 kematian dan 98,010 jangkitan, diikuti Britain dengan 5,373 kematian dan 51,608 kes.

Di Eropah pula, mencatatkan 696,110 kes dan 52,498 kematian sehingga semalam, dengan AS dan Kanada dengan 363,501 kes dan 10,728 kematian; Asia 121,355 kes dan 4,265 kematian dan Asia Barat 79,747 kes dan 3,948 kematian.

Sementara itu, Amerika Latin dan Caribbean 33,819 kes dengan 1,188 kematian; Afrika 9,457 kes dengan 467 kematian dan Oceania 6,941kes dengan 45 kematian mengesahkan kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia kini dijangka mencapai angka seramai 1 juta orang dalam beberapa hari mendatang. Terdapat tiga negara yang mempunyai angka jangkitan COVID-19 melebihi 100,000 kes, didahului Amerika Syarikat (209,071), disusuli Itali (110,574) dan Sepanyol (102,179). Negara Barat adalah yang banyak dijangkiti wabak ini dan telah melepasi China, yang telah pun berjaya dan membendung dan menghentikan penularan.

Menarik untuk diperhatikan kumpulan doktor yang tiba di Itali telah mengkritik langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa Itali bagi membendung wabak. Para pegawai Pertubuhan Palang Merah China berkata langkah-langkah kuarantin yang diambil China masih longgar.

Negara- anggota Kesatuan Eropah atau Nato tidak berbuat apa-apa membantu membiarkan Itali mengelupur tetapi China dan Rusia adalah negara yang pertama menawarkan bantuan kepada China.

Kesemua ini membawa kita kepada kesedaran bahawa tamadun Barat tidak dapat membantu meringan atau membendung krisis ini, ia telah gagal dalam ujian ini manakala Asia mampi menggerakkan respons berkesan dan bangkit menghadapi cabaran ini.

Contohnya Shanghai, Singapura, Tokyo dan Moscow, malah negara kita Malaysia sekalipun boleh menguruskan bencana ini apabila berhadapan dengan kebersihan, peraturan dan tindakan. Pandemik ini memboleh kita memgukur sejauh manakah kecekapan bandar-bandar besar di Barat berhadapan dengan krisis ini.

2. Krisis pandemik ini menandakan berakhirnya apa yang kita kenali sebagai solidariti Transatlantik dan Eropah. Barat tidak lagi bersatu. Eropah tidak lagi dapat memaafkan langkah-langkah unilateral yang diambil Trump dengan tidak memperdulikan kepentingan-kepentingan Eropah. Mereka tidak akan lupa bahawa Presiden AS itu menangguhkan penerbangan ke ibu negara Eropah tanpa merundingi dengan sekutu-sekutu E-nya.

Selepas Brexit, masa depan Kesatuan Eropah menjadi tidak menentu. Realiti yang mengejutkan bertentangan dengan konsepsi “Kesatuan” Eropah. Pihak berkuasa Republik Czech telah merampas topeng dari China yang hendak dikrimkan ke hospital-hospital di Itali dan England cuba merampas bekalan perubatan yang hendak dihantar ke Peranchis. Apa yang berlaku ini tidak menawatkan banyak harapan mengenai apa yang dinamakan “Kesatuan” Eropah dalam kalangan negara anggotanya. Kebanyakan negara lebih mementing diri mereka sendiri untuk survival.

Menurut Financial Times “Kubu kuat Eropah adalah satu ilusi”. “Fortress Europe is an illusion”. Akhbar harian Peranchis Le Figaro memperkatakan mengenai ekonomi, penghijrahan, dan krisis kesihatan yang membawa negara-negara Eropah untuk akur dan menyoroti bahawa EU dan seluruh sistem yang bertunjangkan globalisasi berada di ambang kehancuran.

Ledakan pandemic Covid-19 telah mendedahkan masalah dalaman negara anggota dan segala kontradiksinya. Mespipun secara zahirnya banyak cakap-cakap mengenai solidarity ternyata dalam kes Itali, EU telah gagal dengan buruknya dalam membantu Itali.

Bayangkan tempat tercetus pandemik di Lombardi adalah pusat kecanggihan hospital dan tahap tinggi dalam kesihatan di Eropah telah gagal dalam membendung pandemik ini. Dalam situasi kecemasan kerajaan Itali telah merayu EU dan juga kepada Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper untuk membantu mereka kerana Itali tidak mempunyai peralatan dan katik hospital yang mencukupi untuk merawati mangsa yang dimasukkan ke hospital. Tetapi EU memejamkan mata.

3. Adalah jelas sekarang kebanyakan negara terutamanya di Eropah harus memikirkan semula pendekatan mereka dalam berhadapan dengan situasi krisis kritikal dalam usaha memerangi atau membendung wabak baharu. Akhirnya media AS mendakwa sejumlah besar kematian akibat virus Covid-19 membuktikan sistem kesihatan kerajaannya tidak berfungsi dengan baik tetapi masih tidak mahu mengakui bahawa sistem kesihatan mereka tidak dibina untuk berhadapan dengan jangkitan massa. Sistem kesihatan Barat dibina untuk melindungi golongan berada dan bukan rakyat jelata. Pada 24 Mach, Menteri Luar Rusia menggesa semua pihak yang masih memikirkan konflik serantau supaya dengan segera menghentikan permusuhan dan membuat gencatan senjata. Jika tidak, kita tidak akan dapat menghentikan penyebaran wabak koronavirus Covid-19 ini.

Tetapi Presiden AS dengan ego dan jahil denagn situasi dan kegawatan di Eropah masih dengan megahnya berkata dia akan membuka ekonomi Amerika meraikan hari Easter dan dalam “kebijaksaan-nya” menyatakan “negara dibangun untuk tidak akan tutup.”. Maksudnya tidak akan perintah berkurung, lockdown atau PKP. Situasi meruncing di AS menyedarkan beliau daripada lamunan tidurnya itu.

Orde dunia liberal Barat sekarang berada dalam keadaan huru hara. Virus halimunan ini akan menamatkan Dominasi Spektrum-penuh (full-spectrum dominance) oleh Britain, AS dan EU.

Apa lagi virus telah nyah-globaliasikan dunia atau de-globalisasikan yang dikatakan sebagai kampun sejagat. Sekarang setiap kampung menjaga kampung masing-masing di dunia ini.

Laporan Reuters memetik kenyataan Presiden Peranchis Emmanual Macron, yang menyimpulkan kejatuhan Empayar yang dibina selepas Perang Dunia Kedua. Katanya “Apa yang menjadi taruhan sekaran ialah projek Eropah.”Beliau memaksudkan EU boleh terkubur dalam era pasca Covid-19 ini. Dan virus halimunan ini boleh menjatuhkan seorang Presiden di sebuah negara kuasa besar dunia dan AS sekarang dalam keadaan ketegangan memerangi makluk halus yang menggugat seluruh kekuatan Washington tanpa menggunakan sebutir pelurupun.

Oleh itu kita harus membuka mata, ketaksuban kita terhadap Barat yang dikatakan hebat dan terkedepan dalam semua sektor contohnya kesihatan adalah suatu mitos dan ilusi dan kes Covid-19 telah membuktikannya. Mereka tidak dapat menyelamatkan rakan EU mereka iaitu Itali menunjukkan rapuhnya sistem kesihatan mereka. Kekuatan yang kita takuti itu telah dijatuhkan oleh virus halus yang menyerang negara kuasa besar dunia sekarang yang berada dalam keadaan huru hara untuk menangani. Tentera dan teknologi ketenteraan canggih lagi perkasa pun tidak dapat berbuat apa-apa untuk menangkis dan apa lagi membendungnya.

Kegawatan situasi yang kita hadapi sekarang mengkehendaki kerjasama murni bagi menyelamatkan nyawa manusia di planet bumi kita ini.

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikas, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)