Malaysia Dateline

Covid-19 dan Nujum Pak Belalang

Dalam kebimbangan rakyat Malaysia terhadap penularan Covid-19 ini ramai pula yang menjadi tukang peramal masa depan atau ingin menjadi Nujum Pak Belalang. Mereka bermunculan di mesia sosial bagaikan cendewan lepas hujan. Mereka seperti Nostradamus,  saintis NASA, sheikh  tasauf atau sang sufi yang punya kasyaf nya dengab dilengkapi enam deria (six senses) menembus tujuh petala langit dan bumi mengetahui apa yang akan berlaku di masa depan.

Ramalan yang mereka buat akan hampirnya hari Kiamat menjadikan mereka yang lebih mengetahui dari Allah swt akan tibanya hari yang menghancurkan bumi itu. Golongan peramal ini memetik hadis Rasulullah saw tanpa menyandarkan kepada sumber perawi yang sah dan paling berwibawa dalam dunia Islam.

Dengan sentuhan jari di media sosial melalui video dan mesej mereka menyiarkannya sesedap rasa tanpa membuat petikan daripada kitab-kitab hadis berautoriti seperti Hadis Bukhari-Muslim, Al-Tirmizi, Imam Ahmad dan lain-lain.

Mereka menggunakan bahasa pasar berbentuk ancaman yang menakutkan akan tibanya hari yang dinantikan. Nampak jelas penulisnya bukan sosok ulama, penulis berpengalaman atau daripada mereka yang ahli dalam bidang ekstalogi Islam seperti Ustaz Mohamad Auni dan Sheikh Imran Hossein.

Mereka juga akan memuat naikkan video-video gambaran hari Kiamat atau ucapan dan ceramah ustaz-ustaz bagi menguatkan mesej-mesej atau ulasan-ulasan ringkas yang mereka buat. Ahli-ahli nujum ingin ini  inginkan orang memuji-muj mesej dan video yang mereka muat naikkan seolah-olah ramalan mereka mengenai Covid-19 adalah benar dan menyakinkan.

Ada contoh mesej yang saya terima ini meminta supaya setiap umat Islam beristighfar sebanyak 1000 kali setiap hari selama 40 hari.

Bagi penghantar mesej ini, 1000 adalah jumlah banyak yang berpotensi untuk menarik rahmat Allah..Di dalam hadis Nabi ada menyebut jumlah 1000  tentang fadhilat-faddilat tertentu contohnya hadis berikut:

Maksudnya

Dari Mus’ab bin Saad bin Abi Waqqas telah menceritakan kepadaku, ayahku lalu berkata kami telah duduk suatu ketika bersama Rasulullah s.a.w lalu Baginda bersabda” Adakah sesiapa dialam kalangan kamu mampu melakukan setiap hari 1000 kebaikan? Lalu ada seseorang dalam majlis itu bertanya bagaimana seseorang dari kalangan kami boleh melakukan 1000 kebaikan ? Nabi bersabda seseorang itu mengucap tasbih 100 kali maka ditulis baginya 1000 kebaikan dan dihapuskan darinya 1000 kejahatan

Ini menunjukkan angka 1000 itu besar dan boleh menarik rahmat Allah.

Mengapa pula perlu dibuat selama 40 hari? Jawapannya ialah Nabi Yunus Alaihissalaam telah berada dalam perut ikan Nun selama 40 hari setelah meninggalkan kaumnya maka Allah menjelaskan

Maksudnya:

Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah ( dengan zikir dan tasbih ).Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.

Maka beliau mencadangkan mulai esok semua rakyat Malaysia beristighfar sebanyak 1000 kali selama 40 hari.Jika kita mulakan besok maka 40 hari akan habis pada 12 ramadhan maka sempatlah kita sambut Aidil fitri tanpa Covid-19 InsyaAllah.

Atau sekurang-kurangnya dalam satu rumah ada seorang wakil yang akan beristighfar sebanyak 1000 kali sehari atau jika tidak mampu juga maka dibahagikan kepada semua ahli keluarga dalam rumah sehingga mencapai angka 1000.  Ini bermakna sekiranya 10 orang ahli keluarga melakukannya maka bilangannya 100 seorang kalau lima orang maka 200 seorang.begitulah pembahagiaannya.

Akhirsekali dalam mesej itu dinyatakan sekurang-kurang jika ada 313 yang berkeyakinan melakukan Insya-Allah penyakit akan berkurangan.  Angka 313 itu saya rasa daripada jumlah tentera dalam perang Badar.

Ia bagaikan surat berantai. Mesej ini tidak menyatakan rujukan surah dan ayat apa dalam Al Quran, kesahihan hadis dan memberi jalan penyelesaian mudah kepada pandemik yang dialami itu. Mesej ini tidak menyatakan istighfar pernah dilakukan di mana dan dalam peristiwa apa dan telah membawa kejayaan. Ini bukan apa sekurang-kurang akan memberikan semangat dan keyakinan kepada orang yang hendak melakukannya.

Berzikir atau istighfar haruslah dilakukan dengan penuh penghayatan dan harus ada adab-adabnya dan bukan dengan mengumik-gumik mulut dan tasbih di tangan maka suatu keajaiban sudah berlaku. Jika tidak tentu Hamas tidak perlu berperang dengan tentera regim ganas Israel, memadai dengan beristighfar sahaja.

Terdapat juga ahli nujum Covid-19 yang mengaitkan pandemik ini dengan kemunculan Dajjal dan meramalkan akhir zaman telah tiba. Mereka seolah-olah mengetahui dengan mengatakan ketika mana Dajjal muncul, masing-masing akan kelam kabut. Suami akan kehilangan isteri. Isteri tidak sabar dengan dugaan kesusahan, diikutnya Dajjal yang mampu beri nikmat kemewahan.

Mereka mengatakan kaum paling ramai menjadi pengikut Dajjal adalah kaum wanita. Mereka mengatakan wanita adalah kaum yang mudah tewas dengan nafsu. Sebab itu Nabi suruh ikat dan tambat anak isteri di tiang-tiang rumah.

Kalaupun hadisnya shahih tetapi tidak dinyatakan hadis Bukhari atau Muslim, situasinya tidak berapa sesuai dan kita tidak mahu mesej-mesej begini  mendappat gambaran bahawa ia mencerca dan menghina golongan wanita yang berada dalam barisan hadapan dalam memerangi virus dan mereka di rumah yang membantu keluarga mengurus rumah tangga semasa PKP ini.

Pada saya Allah Maha Berkuasa untuk menentukan bilakah kiamat akan berlaku. Urusan menetapkan bila hari kiamat berlaku dan bila Dajjal akan muncul adalah urusan Allah dan bukannya urusan manusia dengan keupayaan akalnya yang sangat terbatas.

Allah boleh menangguhkan kiamat. Allah berkuasa mengubah takdir buruk menjadi takdir baik. Bagi umat islam hari kiamat wajib diyakini kerana ia salah satu daripada rukun iman yang enam. Kita yakin jika bukan sekarang kiamat berlaku, hari akhir itu akan tiba juga apabila seluruh alam semesta dilipat menjadi rapat dan hancur luluh menjadi debu dan timbunan tenaga kembali dalam keadaan asal, sebelum berlaku ledakan agung (big bang) daripada bertrilion tahun yang silam.

Umat Islam tidak perlu bimbang dengan hari kiamat. Tetapi kehadiran mesej  menakutkan itu ini mungkin boleh mengganggu usaha dan fokus kita semua untuk membantu mencegah penularan pademik covid-19 ini dengan duduk bertenang dan bersabar di rumah.

Justeru janganlah berlagak seperti Nostradamus atau ulamak-ulamak berilmu dengan membuat ramalan-ramalan ahli nujum.. Siapakah yang menentukan akan terjadi malapetaka ini? Mengapa begitu pesimis dan pasif, sedangkan rakyat di wilayah derita, gaza, palestine telah turut mendoakan keselamatan rakyat malaysia daripada ancaman wabak covid ini? .Dalam islam, tiada pun kita diajar untuk bersikap mudah berputus asa daripada kurnia dan nikmat Allah.

Namun bukannya tidak ada golongan ulamak yang meminta kita berdoa dalam menghadapi bencana dan musibah

Menerusi perkongsian ciapan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di laman Twitter, beliau telah berkongsi beberapa doa munajat untuk diamalkan apabila ditimpa sebarang bencana dan musibah.

Lima doa menghadapi wabak dan bencana pic.twitter.com/bvDScyJtNu

Sebagai umat Islam, kita wajib percaya kepada Qada dan Qadar Tuhan. Juster itu segala bencana yang menimpa adalah dianggap sebagai satu ujian dan pengajaran daripada Tuhan kepada hambaNya untuk direnungi.

Dalam waktu yang genting ini, kita seharusnya tidak terlalu mengikut perasaan dan bertindak di luar kawalan. Sebaliknya, bertindaklah secara bijak dengan mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Kita harus bertawakkal  dan percaya bahawa segala bentuk musibah yang melanda merupakan ujian Tuhan buat hambanya yang celik mata hati dan akal fikiran.

Jangankah kita gedutkan maklumat di media sosial dengan menjadi ahli nujum Covid-19!

 

——

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)