Malaysia Dateline

COVID-19: DAP saran tangguh PRN Sarawak

Party Democratic Action (DAP) Sarawak menyarankan agar Kerajaan Negeri Sarawak menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat ini.

Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, ia berikutan peningkatan kes COVID-19 yang semakin serius selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak sepatutnya berfikir bagi membubarkan DUN Sarawak untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan yang akan datang memandangkan situasi yang dialami negara ketika ini.

“Pengajaran yang diperolehi semasa PRN Sabah masih segar dalam fikiran rakyat.

“Justeru, ia adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab apabila beliau mencadangkan pembubaran DUN Sarawak untuk membolehkan pilihan raya diadakan dalam tahun ini,” tegas beliau dalam satu kenyataan di Kuching.

Sebelum ini, Abang Johari telah mengeluarkan kenyataan
bahawa Sarawak akan mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa dari sekarang dalam satu program yang berlangsung di Sibu minggu lalu.

Chong menjelaskan, penularan virus COVID-19 adalah terkawal sebelum PRN Sabah diadakan.

Bagaimanapun, tegasnya dalam tempoh tiga hari terakhir ini jumlah kes baharu telah melonjak secara mendadak.

“PRN Sabah tidak dapat dielakkan kerana percubaan rampasan kuasa oleh Musa Aman untuk menjatuhkan Kerajaan Warisan.

“Manakala Sarawak pula tempoh pengakhiran DUN adalah dalam bulan Jun 2021 dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiada menghadapi risiko percubaan menggulingkan kerajaan melalui kaedah ‘pintu belakang’.

“Kerajaan Negeri masih berbaki masa lebih kurang sembilan bulan sebelum tempoh akhir pembubaran DUN tanpa risiko rampasan kuasa dan mengapa perlu tergesa-gesa.

“Maka, adalah tidak ada keperluan untuk memanggil pilihan raya diadakan dalam waktu terdekat ini,” soal beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Stampin.

Ujarnya lagi, negara kini sedang menghadapi serangan gelombang ketiga pandemik COVID-19 sekali gus mendatangkan keresahan oleh semua pihak.

Untuk mengadakan PRN sekarang, tambahnya bukan hanya akan mendedahkan ribuan pekerja dan sukarelawan pilihan raya kepada jangkitan virus COVID-19 tetapi jutaan rakyat Sarawak juga akan terdedah kepada virus yang sama.

“Sekarang adalah waktu penting bagi kita mengamalkan penjarakan sosial semaksimum mungkin.

“Dengan ini, saya menyeru Abang Johari untuk memikirkan semula niat mengadakan PRN Sarawak sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang,” tambahnya.