Malaysia Dateline

COVID-19: DAP Sarawak arah ahlinya yang kontak Wong jalani kuarantin

Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mengarahkan semua wakil rakyat dan ahlinya yang mempunyai kontak dengan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu dalam tempoh 14 hari lalu menjalani kuarantin di rumah.

Menurut Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, ia adalah prosedur operasi standard (SOP) diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengurangkan penularan COVID-19.

“Rata-rata daripada kita ada kontak rapat dengan Wong pada 1 Mac 2020, pada hari Tan Sri Muhyiddin Yassin angkat sumpah sebagai Perdana Menteri, dan tempoh 14 hari sudah berlalu.

“YB Kelvin Yee (Ahli Parlimen Bandar Kuching) dan saya sendiri tidak mengalami demam, batuk atau simptom-simptom dijangkiti virus ini, tetapi disebabkan keadaan kerja kami, kami menjalani ujian COVID-19 di Hospital Umum Sarawak (HUS), pagi semalam keputusan hanya diketahui hari ini,” ujarnya menerusi kenyataan di Kuching hari ini.

Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa turut mendoakan agar Wong cepat sembuh.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Sarikei Wong Ling Biu didapati positif Covid-19 dan telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 7 Mac lalu.