Malaysia Dateline

Muhyiddin Najib 2

Covid-19 digunakan untuk menutup dosa-dosa politik

Wabak Covid-19 yang dikatakan sebagai suatu kejadian yang hanya berlaku sekali dalam satu abad ini sedang digunakan untuk menutup pelbagai dosa-dosa politik di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat, wabak Covid-19 ini telah melanda negara tersebut dan teruk merebak pantas.

Selepas berminggu-minggu amaran yang penularan wabak ini akan meningkatkan sekali lagi, peningkatan buat kali ketiga telah berlaku di Amerika Syarikat.

Semalam, Amerika Syarikat mencatatkan sejumlah 63,663 kes baharu dan 1,225 kematian, dengan kadar peningkatan ini, jumlah kes harian di AS dijangkakan akan mengatasi rekod 75,687 kes yang dicatatkan pada 16 Julai.

Rekod kematian tertinggi yang disaksikan di Amerika Syarikat pada 21 April adalah sebanyak 2,742 kematian dalam masa sehari.

Semalam, Amerika Syarikat sekali lagi mendahului dunia dengan mencatatkan sejumlah 8.6 juta kes jangkitan Covid-19 terkumpul dan lebih daripada 227,000 kematian, daripada sejumlah 41.5 juta kes terkumpul dan lebih daripada 1.1 juta kematian di seluruh dunia.

Namun, wabak ini berkemungkinan besar akan menuntut korban politik terbesarnya dalam pilihan raya presiden AS apabila Joe Biden menewaskan Donald Trump pada 3 November — suatu perkara yang kelihatan mungkin berlaku — Trump akan menjadi mangsa terbesar wabak Covid-19 seperti yang dikatakan oleh Obama, kerana “tahap ketidakcekapan, salah maklum, dan jumlah nyawa rakyat yang dapat diselamatkan daripada menjadi korban jika kita telah melakukan perkara asas yang betul”.

Di Malaysia, kita mendapat satu wayang yang mengerikan di mana mantan Perdana Menteri, Najib Razak, mengambil posisi sebagai “autoriti dan pemimpin moral”, bersyarah mengenai tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali yang dikatakan sebagai satu “kesalahan moral” kerana melanggari SOP kuarantin Covid-19, sedangkan pada dalam masa yang sama, mengatakan sukar untuk mencarikan kesalahan undang-undang dalam tindakan menteri tersebut.

Betapa tebalnya muka seorang manusia yang telah mengubah negara kita kepada sebuah kleptokrasi global ini, yang sehingga hari ini masih tidak mengaku yang beliau bertanggungjawab mewujudkan satu skandal kewangan yang terbesar di dunia — skandal kewangan 1MDB — untuk bersyarah mengenai apa yang betul dan salah kepada seorang menteri.

Najib telah didapati bersalah atas tuduh rasuah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai dalam beberapa kes pertama yang berkaitan dengan skandal 1MDB dan telah dihukum penjara selama 12 tahun kerana kesalahan penyalahgunaan kuasa dan selama 10 tahun untuk setiap satu daripada enam kesalahan pengubahan wang haram dan pecah amanah — di mana hukuman ini dijalankan serentak — dan didenda sebanyak RM210 juta.

Semalam, Elliott Broidy, yang pernah menjadi seorang pengumpul dana kempen utama parti Republikan, telah mengaku bersalah di Washington atas kesalahan melobi pentadbiran Presiden Donald Trump secara haram untuk membantu pelarian jenayah dan operator utama 1MDB, Jho Low, untuk menghentikan siasatan ke atas skandal 1MDB ini.

Perkara ini berlaku sebelum satu penyelesaian jenayah di antara Jabatan Kehakiman AS dan dengan Goldman Sachs, memandangkan bank tersebut telah bersetuju untuk membayar lebih daripada USD 2 bilion kerana peranannya dalam membantu 1MDB meraih berbilion dolar yang kemudian disalurkan secara haram ke tempat lain.

Rakyat Malaysia tertarik untuk mengetahui apakah yang Najib akan katakan mengenai perkembangan-perkembangan skandal 1MDB ini dan bukannya syarahan beliau mengenai apakah yang benar dan yang salah untuk Khairuddin.

Rakyat Malaysia perlu bersatu padu untuk melawan wabak “sekali-dalam-seabad” Covid-19 ini, dan DAP sentiasa menggalakkan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” jika kita hendak memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 ini di Malaysia.

Tetapi, mereka yang meremehkan usaha melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” ini adalah para pemimpin politik dan menteri Perikatan Nasional juga.

Untuk memberikan lima contoh sabotaj terhadap usaha melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” ini:

1. Walaupun Perdana Menteri telah memberikan jaminan tidak ada sebarang sikap pilih kasih, kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Pas, Khairuddin Aman Razali, akan kekal selama-lamanya sebagai bukti kekal seorang Perdana Menteri yang tidak mampu menepati janjinya.

2. Selepas mencetuskan gelombang kedua wabak Covid-19 dengan konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari, kerajaan Perikatan Nasional ini tanpa teragak-agak menyebabkan gelombang ketiga pula melalui satu cubaan rampasan kuasa yang gagal di Sabah, yang telah menyebabkan berlakunya pilihan raya negeri Sabah dan gelombang ketiga Covid-19.

3. Sabah ditinggalkan untuk membela nasibnya bersendirian sedangkan negeri tersebut merupakan pusat penularan utama gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia.

4. Diskriminasi terhadap kerajaan negeri Pakatan Harapan, yang dikecualikan daripada mesyuarat penting Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 dan keengganan kerajaan Persekutuan untuk berkongsi data terperinci berkenaan kes Covid-19 dengan Selangor Task Force for Covid-19 (STFC).

5. Arahan yang mengelirukan, separa siap, dan kucar kacir yang diumumkan semasa negara berhadapan dengan wabak Covid-19, seperti arahan berkerja dari rumah yang dibuat tanpa proses libat urus dengan pemegang taruh seperti kumpulan majikan dan wakil-wakil pekerja.

Wabak “sekali dalam seabad” Covid-19 ini tidak boleh dibenarkan untuk dipergunakan dalam menutup dosa-dosa politik, terutamanya kleptokrasi, skandal 1MDB, dan kakistokrasi.

Saya tidak dapat melihat sesiapa pun dalam Kabinet Muhyiddin yang mempunyai corak pemikiran untuk melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” yang diperlukan jika kerajaan mahu memimpin negara kita dalam memerangi wabak Covid-19 ini — baik dalam kalangan menteri, menteri kanan, mahupun Perdana Menteri sendiri.

Apa nak jadi?