Malaysia Dateline

COVID-19: Dua lagi sembuh, jumlah dirawat menurun kepada tujuh, kata Dr Dzulkefly

 Jumlah pesakit COVID-19 yang berjaya dipulihkan terus bertambah kepada 15 selepas dua lagi daripada 22 individu yang disahkan positif kluster itu sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang pada Rabu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kedua-dua kes itu merupakan kes ke-17 dan ke-18 yang disahkan positif dijangkiti COVID-19 pada 9 Feb lepas dengan kedua-duanya dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ingin memaklumkan bahawa tiada kes baharu dilaporkan pada Rabu.

“Jumlah kumulatif kes COVID-19 kekal sebanyak 22 kes dengan hanya tujuh kes masih dirawat di hospital,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kementerian tidak akan mengambil mudah dan merasa selesa dengan kejayaan mengurangkan jumlah pesakit yang dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata petugas perubatan perlu peka dan mengambil kira situasi gawat dihadapi Singapura dalam berdepan wabak itu yang mungkin boleh memberi kesan kepada negara.

“Saya nasihatkan supaya jangan mudah selesa dengan kejayaan menurunkan jumlah pesakit sebab negara di seberang Tambak Johor, iaitu Singapura sedang alami satu kedudukan sedikit gawat sehingga menaikkan tahap respons wabak penyakit kepada jingga.

“Bagi rakyat pula, mereka perlu kekal dengan amalan hidup sihat dan mereka yang mempunyai simptom harus kekal memakai topeng muka bagi mengelak menjangkiti orang lain,” katanya.

Dzulkefly berkata Malaysia juga akan terus berbincang dengan Singapura mengenai langkah bersama yang boleh diambil bagi menangani penularan COVID-19 termasuk aspek saringan keluar masuk antara kedua-dua negara.

Daripada 22 kes positif COVID-19 yang dilaporkan di negara ini, sembilan daripadanya masuk melalui Singapura.

Ditanya sama ada Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dalam merawat kes COVID-19, Dzulkefly berkata perkara itu telahpun dilakukan melalui platform Rangkaian Pusat Operasi Kecemasan ASEAN.

“Kita juga komited meneruskan kerjasama dan berkongsi kepakaran dengan mana-mana pihak dalam bertukar maklumat  tentang kesihatan awam serta pengurusan dan pengubatan berkaitan pesakit COVID-19,” katanya.

Terdahulu, Dzulkefly melancarkan Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Virtual Health Advisory ATAU iaitu platform menyampaikan maklumat dan mengurangkan kekeliruan orang awam berkaitan jangkitan COVID-19.

Virtual Health Advisory merupakan saluran digital yang dihasilkan secara kolaborasi antara Kementerian Kesihatan dengan DoctorOnCall yang boleh diakses secara percuma bagi tempoh tiga bulan.

Dzulkefly berkata melalui platform itu, orang awam boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Pakar Perubatan Keluarga atau pegawai perubatan KKM menerusi perbualan secara dalam talian.

Waktu khidmat nasihat bermula 8.30 pagi sehingga 5 petang setiap hari dan perkhidmatan itu boleh dicapai menerusi laman sesawang www.moh.gov.my menggunakan peranti yang mempunyai kamera, katanya.– BERNAMA