Malaysia Dateline

Covid-19: Dua sekolah di Kuching ditutup tujuh hari

Dua sekolah di Kuching iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wira Penrissen dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Haji Baki ditutup tujuh hari selepas pelajar dikesan positif Covid-19.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kedua-dua sekolah itu ditutup selama seminggu mulai semalam hingga 1 November depan.

JPBN menjelaskan, keputusan penutupan dua sekolah itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.

“Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah mengeluarkan arahan penutupan SMK Wira Penrissen dan SK Jalan Haji Baki untuk tempoh tujuh hari mulai 26 Oktober hingga 1 November ini.

“Ia bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan seperti yang terkandung dalam surat Arahan Penutupan Sekolah kerana pengesahan kes jangkitan Covid-19 daripada Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Operasi Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Ini berikutan, kedua-dua sekolah terbabit ditutup selepas terdapat pelajar sekolah berkenaan dikesan positif Covid-19 dari Kluster Baki,” ujar JPBN dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, JPBN turut memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah menangkap dua warga tempatan di Tanjung Kidurong, Bintulu kerana mengurus sebuah pusat hiburan tanpa lesen selain beroperasi lebih masa serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

JPBN berkata, daripada serbuan yang dilakukan jam 3 pagi itu, seramai 40 pelanggan telah dikompaun.

Malah, tegas JPBN setakat ini, PDRM telah mengeluarkan 42 kompaun iaitu di Daerah Bintulu (40) dan Miri (2).

“Manakala Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan pula telah mengeluarkan 63 amaran lisan, bertulis dan sitaan di kawasan seliaan BDA (27), SMC (17), DBKU (14) dan MD Serian (5).

“Untuk pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sebanyak 1,635 premis telah dipantau iaitu pasaraya (234), restoran (286), kilang (8), bank (129), pejabat kerajaan (71), penjaja (33), pasar tani/awam (77), tempat ibadah (95), tempat riadah (51), tapak pembinaan (19) dan lain-lain (632),” tambah JPBN.

Untuk rekod, hanya Kuching dikategorikan zon kuning buat masa ini. Setakat semalam, sebanyak 803 kes positif Covid-19 direkodkan di Sarawak dengan 52 pesakit sedang dirawat.

Tujuh lagi kes baharu dikesan semalam dengan empat pesakit sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh mencecah 732 kes.

Tiada kematian baharu direkodkan dengan jumlah korban akibat Covid-19 kekal 19 kes.