Malaysia Dateline

Covid-19: DUN Sarawak hanya bersidang 5 hari

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya dilangsungkan selama lima hari bermula 9 hingga 13 November ini.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar memaklumkan, persidangan itu sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 18 November ini namun terpaksa diubah ekoran pandemik Covid-19.

Katanya, beliau telah menerima arahan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi mengubah tarikh persidangan dari 9 hingga 18 November ke tarikh baharu pada 9 hingga 13 November ini.

“Memandangkan kes Covid-19 di Sarawak terus meningkat dan tidak menunjukkan tanda penurunan, maka kita telah membuat keputusan untuk mengurangkan hari bersidang menjadi lima hari.

“Saya turut akur dengan arahan daripada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media baru-baru ini bahawa sesi Parlimen yang panjang menimbulkan risiko jangkitan virus Covid-19 lebih tinggi.

“Bersama dengan nasihat ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mematuhi garis panduan ini secara keseluruhan dan turut memikirkan kesihatan Anggota Yang Berhormat, Anggota Kabinet, Anggota Birokrasi dan semua pihak yang terlibat dalam persidangan DUN nanti,” tegas beliau.

Asfia menjelaskan, Anggota Yang Berhormat, Anggota Kabinet dan semua pihak yang memasuki dewan persidangan termasuk Speaker Dewan akan mengambil ujian swab pada 6 dan 7 November sebelum persidangan bermula.

Beliau turut memberitahu, bangunan DUN Sarawak akan disanitasi pada 8 November ini sebelum persidangan berlangsung dan pada 14 November (selepas persidangan).

Pada persidangan DUN minggu depan, Belanjawan Negeri Sarawak 2021 akan dibentangkan pada hari pertama persidangan (9 November) dan akan didebat pada 11 November.