Malaysia Dateline

Covid-19: Empat kes import, tiga kes baharu dikesan di Sabah

Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu terdapat tujuh kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan jumlah kes aktif mencecah 179 kes.

Menurutnya, empat daripada tujuh kes itu adalah kes import yang mendapat jangkitan dari Indonesia, Australia, Russia dan Pakistan.

Empat kes import itu melibatkan tiga warganegara Malaysia dan seorang bukan warga yang berkahwin dengan rakyat tempatan.

Sementara itu, tiga kes lagi, jelasnya merupakan penularan dalam negara dengan kesemuanya dikesan di Sabah.

Mereka dikesan melalui saringan pra-pembedahan, dan dua kes dirawat di Hosptail Queen Elizabeth di Kota Kinabalu dan satu kes lagi di Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Likas.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan tujuh kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,904 kes.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, hanya satu kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih, di negara ini sebanyak 8,601 kes bersamaan 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Tiada pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pertambahan kes kematian disebabkan Covid-19 hari ini dan jumlahnya kekal 124 kes,” katanya dalam sidang media Covid-19 di sini hari ini.