Malaysia Dateline

Covid-19: Eropah mungkin dibadai gelombang lebih buruk tahun depan

Lebih 11 juta jangkitan Covid-19 di Eropah semalam sekali gus rekod terburuk dengan Austria dan Greece muncul sebagai negara terkini melaksanakan perintah berkurung, lapor AFP.

Masih belum pulih dari kejutan kes tembakan rambang di Vienna petang 2 November lalu, Austria memulakan perintah berkurung manakala Greece menutup sepenuhnya dua bandar utama.

Mereka menyertai Belgium, Perancis, Jerman dan Ireland yang mengambil tindakan tegas dalam membendung penularan virus, apabila pandemik yang mula dikesan di China pada akhir 2019 itu tidak menunjukkan sebarang tanda akan berakhir.

Eropah ketika ini merekodkan 11,008,465 jangkitan dan hampir 285,000 kematian, lapor sumber rasmi semalam.

Perintah kawalan yang dijadualkan turut berlaku di England minggu ini mencetuskan kemarahan dan kerisauan apabila pakar berkata Eropah diramalkan berdepan gelombang lebih buruk tahun depan jika tiada vaksin berkesan ditemui.

Berdepan kesan akibat ekonomi dan kehidupan seharian terjejas, Sepanyol di mana sektor pelancongan menyumbang 13 peratus peluang pekerjaan, berkata jumlah pelancong asing merosot 75 peratus sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Akibatnya, negara itu amat terdesak mencari alternatif selain perintah berkurung.

Kerajaan Britain pula memutuskan untuk menjalankan saringan Covid-19 ke atas semua 500,000 penduduk di Liverpool dalam satu skim perintis, yang mungkin akan diperluaskan ke seluruh negara.