Malaysia Dateline

Faiz rakam penghargaan atas usaha kakitangan KKM

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terutamanya kepada warga Kementerian Kesihatan (KKM) yang ketika ini berdepan penularan wabak Covid-19.

Katanya, penghargaan itu diberikan kepada warga kerja KKM berikutan mereka adalah antara kakitangan kerajaan barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengawal penularan wabak tersebut.

“Selain bertungkus-lumus mengawal penularan wabak berkenaan, mereka juga berusaha untuk merawat pesakit-pesakit yang dijangkiti.

“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan atas usaha-usaha yang mereka lakukan. Dengan Perintah Kawalan Pegerakan, masyarakat dinasihatkan untuk mematuhi arahan berkenaan.

“Jangan panik dan melakukan perkara yang boleh meningkat penularan wabak tersebut. Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah holistik dan bijak dalam menangani penularan wabak ini dan jangan mencemaskan rakyat dengan arahan yang tidak menentu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Muhammad Faiz yang juga Adun Permatang Pasir turut menggalakkan rakyat supaya menggunakan perkhidmatan atas talian antaranya GrabFood untuk mengelakkan sebarang sentuhan awam (social distancing).

Untuk pelajar dan mahasiswa pula beliau berkata, mereka dinasihatkan untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran, banyakkan membaca serta membuat latihan pelajaran.

“Dalam situasi sekarang, pihak polis perlu bertegas dalam mengekang penyebaran berita palsu, manakala rakyat pula perlu berhati-hati dan tidak menyebarkan sebarang berita serta maklumat yang tidak pasti.

“Rakyat juga perlu mendapatkan maklumat tepat dan rasmi daripada agensi kerajaan dan jangan mudah percaya kepada sebarang maklumat melalui sosial media.

“Akhir sekali, masyarakat perlu menggunakan masa ini (perintah kawalan pergerakan) untuk bersama keluarga, selain memperbanyakkan ibadat di rumah dengan memohon pertolongan Allah supaya wabak ini segera berakhir dengan selamat,” katanya lagi.