Malaysia Dateline

Covid-19 hampir setahun tapi Menteri Pendidikan masih buat kenyataan saat akhir

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Wilayah Persekutuan kesal dengan tindakan Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin yang dianggap sentiasa membuat kenyataan ‘U-turn’ dan mengeluarkan arahan saat akhir berhubung tarikh pembukaan persekolahan.

Ketuanya, Dr Niekmah Adam berkata, hampir setahun negara dibadai pandemik Covid-19, menteri sudah seharusnya mahir membuat perancangan awal dan bukannya mengubah keputusan pada saat akhir yang menyusahkan banyak pihak.

Malah katanya, pemberitahuan yang lambat menyebabkan sebahagian ibu bapa tidak sempat membuat persediaan rapi untuk pembelajaran secara dalam talian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 13 Januari lalu.

“Sebahagian ibu bapa juga telah mengorbankan wang ringgit untuk persediaan anak-anak ke sekolah dengan membeli pakaian sekolah baru.

“Bagi mereka yang mempunyai anak-anak di asrama, segala keperluan asrama juga telah disediakan dan tiket perjalanan pun telah dibeli.

“Berkemungkinan dengan sesi persekolahan di atas talian sahaja, segala persediaan ini akan menjadi satu pembaziran kerana anak-anak membesar dengan cepat dan mungkin tidak muat lagi pakaian yang sudah dibeli,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Sementara itu Dr Niekmah berkata, Menteri Pendidikan tidak boleh lagi berdiam diri dan sepatutnya menjawab segala keluh kesah ibu bapa dan memberikan penyelesaian.

Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan ialah kesukaran murid mendapatkan capaian internet dan peralatan komunikasi secara maya.

Jelasnya, murid-murid di kawasan luar bandar seperti Sabah dan Sarawak juga seolah-olah tidak bersekolah kerana kekurangan kemudahan digital.

Selain itu katanya, isu-isu lain yang perlu ditangani termasuk isu kemasukan pelajar darjah satu dan tingkatan satu, pelajar asrama, dan isu kekurangan bahan belajar.

“Oleh itu, AWAN Wilayah Persekutuan berharap Menteri Pendidikan bersikap lebih bijak dengan mengelak sikap tidak terancang dan membuat kenyataan mendadak di saat-saat akhir seperti ini,” katanya lagi.